TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas juragannya gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat lesen perkapalan di perairan Tawau, semalam.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, penahanan dilakukan kapal peronda KM Kidurong ketika melaksanakan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris di sekitar perairan berkenaan.
Katanya, bot terbabit dikesan membawa muatan barangan terpakai iaitu botol kosong pada jam 10.30 pagi sebelum ditahan untuk pemeriksaan di kedudukan 1.9 batu nautika barat daya Batu Tinagat.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun bertindak sebagai juragan bot dan hanya mengemukakan salinan pasport tanpa permit sah, selain dokumen itu turut menimbulkan keraguan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai daftar nama dalam lesen serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda seperti yang ditetapkan. Lesen bot dan juragan terbabit ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen perjalanan meragukan.
Norihan menegaskan APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha bot yang gagal mematuhi syarat lesen serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999. – Info X