Search

Inkues kematian Zara: Saksi perasan ada orang dalam tandas jam 2.35 pagi

October 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu kelibat seseorang, dipercayai Allahyarham Zara Qairina disedari berada di tandas tingkat tiga asrama ketika seorang pelajar masuk untuk mandi.

Pelajar terbabit yang juga saksi kanak-kanak ke-22 inkues kematian arwah Zara memberitahu mahkamah ada seseorang berada di tandas ketika dia masuk pada jam 2.35 pagi, 16 Julai lalu.

Peguam Joan Goh yang menceritakan semula keterangan saksi berkata, saksi berkenaan menyatakan bahawa sudah menjadi kebiasaannya untuk mandi awal pagi di tandas tingkat tiga asrama bagi mengelak kesesakan.

Katanya, ketika masuk ke tandas berkenaan, saksi mendapati ada seseorang berada di dalam tandas nombor satu.

“Saksi ada menolak pintu tandas nombor satu yang sedang bertutup namun pintu itu kembali tertolak dan seolah-olah ada orang di dalam tandas itu yang sedang duduk menyandar di pintu tandas seperti orang yang sedang mengurung diri kerana mempunyai masalah.

“Saksi perasan ada orang dalam tandas itu memakai baju sukan yang sama dengan rumah sukan saksi. Pada masa itu, saksi tidak tahu itu adalah Zara dan saksi tidak nampak muka.

“Saksi juga tidak mendengar apa-apa bunyi dari tandas itu dan dia kemudian masuk ke tandas yang lain.

“Ketika sedang mandi, saksi terdengar bunyi pintu tandas itu dibuka seperti orang sedang keluar dari tandas itu,” katanya selepas selesai prosiding hari ini.

Setelah selesai mandi, katanya saksi menceritakan bahawa dia perasan pintu tandas pertama itu sudah tidak tertutup dan orang di dalamnya sudah tiada.

Katanya, selepas itu saksi balik semula ke bilik dan mendengar bunyi tapak kaki di tangga dekat dengan tandas tapi tidak nampak sesiapa berada di sekeliling pada masa itu.

“Kemudian saksi masuk semula ke bilik bersiap-siap kemas buku dan sambung tidur pada jam lebih kurang 3 pagi. Saksi menyatakan tidak mendengar apa-apa bunyi selepas itu,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang di tingkat bawah bangunan asrama, selepas kali terakhir disedari berada di tandas tingkat tiga asrama.

Arwah dilaporkan meninggal dunia sehari selepas itu disebabkan kecederaan otak traumatik teruk dengan kesan hypoxic-iskemik, dipercayai akibat jatuh dari tempat tinggi. – Info X