Search

PRN17: AMANAH wakil PH cabar Warisan di Sulabayan

October 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon rasmi parti itu yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17), 29 November depan.

Pengumuman itu dibuat Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Konvensyen AMANAH Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan beliau di Sembulan, di sini pada Ahad.

Dalam ucapannya, Mohamad mengingatkan jentera AMANAH Sabah supaya memulakan segera kerja pilihan raya dan menggembleng tenaga secara tersusun bagi menghadapi PRN17 yang semakin hampir.

Katanya, pilihan raya kali ini menuntut kesungguhan tinggi dan perancangan strategik daripada setiap peringkat parti bagi memastikan AMANAH berjaya menembusi peta politik Sabah dan memperoleh kerusi sulungnya di negeri ini.

“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat. AMANAH mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua ahli agar mengekalkan perjuangan berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral bukan semata-mata mengejar kemenangan politik.

Katanya, kemenangan sebenar bukan hanya diukur melalui undi, tetapi melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan istiqamah perjuangan parti.

Beliau yakin dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, AMANAH mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, calon AMANAH di Sulabayan, Ustaz Mohd Julpikar adalah seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah & Undang-undang) dari UIN Suska Riau, Indonesia dan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah serta NGO.

Antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.

Selain itu, beliau turut aktif sebagai usahawan pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda yang berpotensi membawa gagasan politik nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri.

Menjelang penamaan calon PRN17 pada 15 November depan, kerusi DUN Sulabayan yang kini disandang Naib Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong dijangka akan terus dipertahankan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu.

Sebelum ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menunjukkan minat untuk bertanding di kubu kuat Parti Warisan itu, namun difahamkan kerusi berkenaan diserahkan kepada PH yang diwakilkan kepada AMANAH.

Pada PRN16, September 2020, Jaujan memenangi kerusi DUN Sulabayan dengan majoriti 3,245 undi setelah memperolehi 5,747 undi menewaskan pencabar terdekat dari Barisan Nasional (BN), Abdul Manan Indanan yang mendapat 2,502 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

BN juga dijangka bertanding semula di Sulabayan jika tidak menyerahkan kerusi itu kepada PH menerusi kerjasama BN-PH dan berkemungkinan mencalonkan semula Abdul Manan selaku Ketua Bahagian UMNO Semporna. – Info X