KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak mengesyaki duitnya yang hilang pada siang 15 Julai lalu dicuri Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Saksi kanak-kanak ke-25 inkues kematian Allahyarham Zara itu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa duitnya kemudian ditemui dalam dompet arwah.
Peguam mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, berkata pada siang 15 Julai lalu, saksi menceritakan satu pemeriksaan dibuat mengenai kehilangan duitnya sebanyak RM21.
Katanya, saksi menyatakan bahawa dia melaporkan kehilangan duit itu kepada seorang guru yang kemudian membenarkan pemeriksaan dijalankan.
“Saksi menyatakan bahawa guru itu menyuruh seorang pelajar junior yang rapat dengan arwah Zara membuat ‘spot check’, tapi selepas ‘spot check’, tiada duit saksi yang dijumpai dengan Zara.
“Namun saksi berkata dia syak Zara mengambil duitnya dan ada bertanya Zara sama ada dia ada jumpa duit tersebut atau tidak. Zara berkata ‘nda nampak ba duit tu’,” katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas prosiding, hari ini.
Peguam ibu arwah berkata, pada 15 Julai lalu juga, apabila saksi sampai di bilik asrama, satu lagi pemeriksaan dijalankan di almari dan beg arwah Zara Qairina.
“Saksi mengatakan dompet Zara telah diperiksa dan duit dijumpai. Saksi menyatakan bahawa dia mengambil duit dari dompet Zara itu kerana duit itu adalah duitnya.
“Saksi juga menyatakan bahawa ketika itu arwah Zara berbaring di atas lantai sambil menangis. Zara turut menjerit dan berkata ‘aku nda curi bah, sial’,” katanya.
Sementara itu, katanya saksi ke-34 inkues itu turut menceritakan mengenai pengalamannya balik cuti hujung minggu bersama dengan arwah pada Mei lalu.
“Pada sekitar Mei 2025, saksi menceritakan pernah ikut Zara balik hujung minggu untuk tidur di rumah arwah Zara di Sipitang. Saksi tinggal di rumah Zara selama dua malam.
“Saksi menyatakan, ibu arwah Zara pernah membawa saksi minum di kafe Zus Coffee dan restoran ’Iman Corner’ di Pekan Sipitang.
“Antara aktiviti semasa bermalam di rumah Zara adalah membuat kerja rumah dan mama Zara bawa saksi dan Zara jalan-jalan ke Pekan Sipitang,” katanya.
Dalam keterangannya, saksi menjelaskan ketika di rumah Zara, dia nampak hubungan arwah Zara Qairina dan ibunya adalah baik. – Info X