KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini dan Penampang, sejak semalam hingga hari ini.
Operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Belanja, Ops Sapu serta Ops Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang itu dijalankan hasil aduan awam dan maklumat risikan.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Rabu, dalam operasi bermula jam 10.30 malam hingga 1 tengah hari itu, seramai 25 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan warga asing.
“Hasil pemeriksaan ke atas 54 individu, seramai 20 orang ditahan kerana disyaki PATI, terdiri daripada lima warga Pakistan, 14 warga Filipina dan seorang warga Indonesia.
“Semua yang ditahan dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan JIM Sabah memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan negeri ini bebas daripada kehadiran dan aktiviti PATI.
“Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi serta membenarkan pendatang tanpa izin tinggal di premis mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak jabatan bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X