KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mencabar kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi DUN Pintasan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata nama calon yang berpotensi akan diputuskan berdasarkan senarai nama yang dikemukakan.
“Saya mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon di kerusi DUN Pintasan pada PRU Sabah Ke-17.
“Semua calon yang dicadangkan mempunyai kelayakan masing-masing, tetapi kita akan memilih calon terbaik, calon yang mampu menang dan membawa suara rakyat.
“Saya menyeru semua jentera BN supaya bersatu dan tidak berpecah,” katanya pada Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nanamun, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu dianjurkan Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Sabah, Tadzul Radim.
Sementara itu, pengusaha ikan dari Kampung Pintasan, Muhammad Nur Fikri Halim Thakdim, 21, menyatakan harapannya agar calon BN yang dipilih kelak dapat membawa pembangunan ke kawasan mereka.
“Kami di Pintasan cuma mahu wakil rakyat yang benar-benar turun padang dan membangunkan kampung kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Jamlan Makuntang, turut menyuarakan harapan agar calon yang menang pada PRU Sabah Ke-17 nanti memberi tumpuan kepada agenda pembangunan pelancongan dan pertanian di kawasan Pintasan.
Setakat ini, penyandang kerusi DUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan dijangka mempertahankan kerusi itu atas tiket GRS.
Bagaimanapun, dikhabarkan, Presiden USNO yang juga Timbalan Pengerusi GRS, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga menyatakan keinginan untuk bertanding.
Pada PRU Sabah Ke-16, September 2020, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu tewas 84 undi di tangan Fairuz setelah mendapat 2,660 undi berbanding 2,744 undi diperolehi Fairuz.
Turut mengumumkan bertanding di Pintasan ialah Datuk Almudin Kaida dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).
Selain itu, Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut dijangka meletakkan calon. – Info X