SEPANGGAR: Perikatan Nasional (PN) menetapkan misi membawa politik damai dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sabah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November depan.
Naib Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata PN menolak politik maki hamun atau permusuhan, sebaliknya menyokong politik yang membina dan menyatukan rakyat tanpa menuding jari kepada pihak lain dalam menangani permasalahan masyarakat.
“PN BEST membawa maksud bersih dan stabil, menolak rasuah dan salah guna kuasa kerana amalan itu hanya menguntungkan pemimpin tetapi merugikan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah berkata demikian pada Ceramah Kelompok PN DUN Karambunai di Kampung Unggun, di sini, kelmarin.
Hadir sama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Sehubungan itu, Aliakbar menggesa agar rakyat memilih pemimpin yang amanah dan tidak memperdagangkan kuasa demi kepentingan peribadi pada pilihan raya nanti.
Beliau juga mengingatkan penyokong PN agar menjadi tukang kempen ke arah kebaikan di setiap lapisan masyarakat, menjauhi budaya pelakon politik dan menghindari provokasi serta permusuhan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu berkata, pendekatan berkenaan adalah keutamaannya bagi memastikan DUN Karambunai terus maju dalam suasana damai dan sejahtera.
Mengenai kedudukan kerusi Karambunai, Alaikbar berkata kuasa terletak di tangan rakyat untuk menentukan hala tuju negeri dan masa depan kawasan itu.
“Tarikh penamaan calon pada 15 November dan hari mengundi pada 29 November ini adalah peluang besar kepada rakyat untuk memilih wakil yang benar-benar amanah dan berintegriti dalam menentukan dasar serta hala tuju pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Katanya, banyak isu berkaitan rakyat Karambunai dibangkitkan beliau di DUN termasuk soal penempatan dan hak pemilikan tanah, yang mana sebahagiannya sudah diselesaikan, manakala sebahagian lagi memerlukan masa serta iltizam untuk diselesaikan.
“Kampung-kampung yang sudah wujud lebih 50 tahun perlu diiktiraf sebagai penempatan kekal kerana penduduknya ialah rakyat tempatan yang berhak menikmati kemudahan dan jaminan pemilikan tanah yang sah,” katanya.
Beliau juga menekankan isu peniaga kecil yang sering berhadapan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mencadangkan agar lokasi khusus disediakan supaya golongan peniaga dapat berniaga dengan selamat, teratur dan tidak diganggu.
Aliakbar turut menzahirkan hasrat untuk memperkukuh pembangunan sektor pendidikan di Karambunai dengan menambah kemudahan prasekolah mampu milik bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan membentuk generasi berilmu serta berakhlak.
Katanya, usaha itu mengambil kira kejayaan institusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang melahirkan anak-anak berdisiplin dan celik agama seawal usia muda. – Info X