Search

PGA Sabah rampas barang seludup RM10.3 juta

October 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan menerusi 45 serbuan sepanjang Oktober 2025, dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM10.38 juta.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, serbuan itu dilaksanakan menerusi pelbagai operasi bersepadu termasuk Op Taring ESSZone/Daratan, Op Kontraband, Op Khazanah, Op Hazard (E-Waste) dan Road Check Point (RCP) di beberapa lokasi strategik seluruh negeri.

“Sepanjang operasi dijalankan, pihaknya turut menahan seramai 68 individu, termasuk 26 warga asing (23 lelaki dan tiga perempuan) serta 40 warga tempatan (35 lelaki dan lima perempuan) yang disyaki terbabit dalam pelbagai kes penyeludupan dan jenayah.

“Keseluruhan nilai rampasan bersama cukai dianggarkan sebanyak RM10,387,283.70, membabitkan pelbagai barangan seperti kenderaan, hasil hutan, minyak, rokok dan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, antara nilai rampasan tertinggi dicatatkan membabitkan pelbagai kenderaan darat dan laut bernilai RM6.3 juta, diikuti kayu balak serta hasil hutan lain bernilai RM2.48 juta.

“Turut dirampas ialah pelbagai makanan sejuk beku (RM896,938.90), minyak sawit mentah (RM277,900), diesel dan petrol (RM115,310), rokok pelbagai jenama (RM259,400), dadah dan daun ketum (RM20,784.80) serta barangan e-waste dan senjata api (RM21,000),” katanya.

Nor Omar berkata, kejayaan itu hasil daripada kerjasama erat antara PGA Briged Sabah dan agensi keselamatan lain dalam membanteras penyeludupan serta aktiviti haram di kawasan sempadan dan pedalaman negeri.

Katanya, operasi ini berjaya melumpuhkan beberapa rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan termasuk rokok haram, bahan api bersubsidi, makanan sejuk beku, kayu balak serta dadah (syabu) di kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.

“Orang awam digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak polis bagi membantu tindakan segera terhadap aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

“PGA Briged Sabah sentiasa komited dan konsisten dalam menjaga keselamatan di kawasan persempadanan bagi memastikan keamanan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya. – Info X