KOTA KINABALU: Seramai 250 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Darau meninggalkan parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.
Penghijrahan beramai-ramai ahli STAR menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 itu diketuai bekas Ketua Wiranita STAR Bahagian Darau, Datin Nollyzai Awang Sham.
Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai Gagasan Rakyat kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mohamed Razali Razi.

Mengulas kemasukan ahli STAR itu, Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, berkata tindakan itu disebabkan kepercayaan mereka terhadap Gagasan Rakyat.
“Sebabnya ringkas saja, mereka percaya dengan apa yang diperjuangkan oleh Gagasan Rakyat kerana apa yang kita buat selama ini konsisten.
“Kita tidak bercakap, tetapi kita bekerja. Ringkasnya, rakyat mahu tengok ‘delivery system’, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu, di sini, pada Jumaat.

Katanya, beliau juga yakin perkembangan itu mengukuhkan lagi kemampuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditunjangi Gagasan Rakyat bersama lima parti lain bagi menghadapi PRU Sabah Ke-17.
“Sudah pasti GRS semakin bertambah kuat dan kita yakin bahawa GRS akan memerintah Kerajaan Negeri Sabah selepas keputusan pilihan raya diketahui pada 29 November nanti,” katanya.
Ditanya dakwaan kononnya pemimpin STAR ditawarkan habuan untuk keluar dari parti itu, Razali menafikan wujud sebarang tawaran seumpama itu.
Sebaliknya, Razali menegaskan pemimpin dan ahli STAR yang bertindak keluar parti memahami perjuangan asas mereka bersama GRS sebelum parti itu keluar dari gabungan berkenaan.
“Sebelum ini STAR di bawah satu rumah dengan GRS dan mereka percaya serta yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor adalah pemimpin yang tepat yang perlu kita teruskan.
“Kita tidak mahu macam dulu rakyat Sabah yang rugi, kita mahu kesinambungan, kita mahu kestabilan. Kalau setiap lima tahun kita tukar polisi, tukar macam-macam, yang rugi adalah rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nollyzai menegaskan beliau tidak diberi sebarang tawaran untuk meninggalkan STAR, selain tidak pernah terlibat dalam politik wang.

“Sepanjang saya dalam bidang politik ini, saya belum pernah terlibat dengan politik wang. Saya sebagai bekas ketua Wiranita STAR dan teman-teman saya yang lain, kami percaya terhadap Gagasan Rakyat.
“Kami yakin dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga yakin terhadap ketua saya, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Razali.
“Saya yakin dengan kredibilitinya, saya yakin dengan kebolehan dan komitmennya yang boleh memperjuangkan rakyat dan komuniti di Darau,” katanya.
Atas sebab itu, beliau berkata pihaknya merasakan ada baiknya mereka bekerjasama dan akhirnya secara sukarela menyertai Gagasan Rakyat sebagai ahli baharu untuk terus kekal dalam GRS.
“Jika kita ditawar wang atau apa saja sudah tentu saya minta jawatan tetapi tiada perkara seumpama itu, hanya ahli biasa saja dalam Gagasan Rakyat,” katanya. – Info X