KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi hampir pasti calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencabar Parti Warisan di kerusi DUN Darau.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau itu menunjukkan isyarat bagus apabila ditanya media pada Jumaat sama ada beliau bakal dicalonkan mewakili GRS di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Beliau yang turut dikenali sebagai Datuk Bob kemudian menjelaskan mengenai persiapan Gagasan Rakyat Bahagian Darau bagi menghadapi PRU Sabah yang dibuat sejak tiga tahun lalu.
“Jawapannya begini, kita sudah bekerja lebih daripada tiga tahun dan insyaAllah jentera kita semua sudah siap sedia menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima permohonan seramai 250 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk menyertai Gagasan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Penjelasan itu menggambarkan keyakinannya bakal dicalon mewakili GRS di kerusi DUN Darau yang mula dipertandingkan sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah pada September 2020 itu.
Ditanya apa yang bakal ditawarkan kepada pengundi Darau, Razali berkata semua perancangannya sudah digariskan dalam manifesto beliau untuk kawasan berkenaan.
“Apa yang saya tawarkan? Kamu akan lihat dalam manifesto saya nanti, bukan sekarang, nanti orang lain akan ambil dari saya pula,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata tidak kisah siapa lawan yang akan tampil bersamanya untuk mencabar penyandang kerusi berkenaan, Azhar Matusin yang memenangi kerusi itu atas tiket Warisan pada PRN16.
Sebelum ini, beberapa nama dikhabarkan turut berminat bertanding di Darau, antaranya Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sepanggar yang juga Pengarang Berita Portal Nabalu News, Fardy Bungga.
Pada PRN16, kerusi DUN Darau menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan dimenangi Azhar selaku calon Warisan dengan majoriti 562 undi setelah mendapat 5,805 undi menewaskan pencabar terdekat dari BN, Datuk Jumat Idris yang mendapat 5,243 undi.
Menjelang penamaan calon pada 15 November depan, kerusi DUN Darau dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan empat atau lima penjuru dengan seramai 33,016 pengundi bakal menentukan siapa calon yang akan mewakili mereka selepas PRU Sabah Ke-17 nanti. – Info X