Search

Wanita warga emas cedera diserang anjing jiran

October 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas cedera di lutut, tangan dan bahu selepas diserang seekor anjing di Taman Century, Lido, di sini, pada Jumaat.

Mangsa dipercayai diserang anjing milik jiran yang terlepas dari kawasan rumah sebelum disedari penduduk berhampiran yang kemudian menjerit meminta tolong.

Pemilik anjing berkenaan turut cuba membantu mangsa, namun haiwan itu bertindak agresif dan sukar dikawal.

Kejadian berkenaan sempat dirakam oleh jiran mangsa yang cuba menghalau anjing berkenaan menggunakan penyeduk tanah sambil meminta bantuan daripada orang ramai.

Seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan berkenaan turut berhenti dan membantu menghalau anjing terbabit yang ketika itu masih agresif menyerang mangsa.

Penduduk kemudiannya segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.31 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati seorang wanita warga emas mengalami kecederaan di bahagian lutut, tangan dan bahu sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan turut dilakukan di kawasan kejadian bagi memastikan keadaan selamat dan tiada lagi ancaman daripada anjing berkenaan,” katanya. – Info X