PUTATAN: Penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengingatkan pengundi di kawasan itu supaya memilih calon yang ada trek rekod pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang dijadualkan 29 November ini.
Ahli Parlimen Putatan itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapa calon yang dimaksudkan memandangkan sehingga kini belum ada perkembangan mengenai pencalonan pemimpin yang ada trek rekod di kerusi berkenaan.
Berdasarkan situasi semasa, penyandang Timbalan Ketua Menteri Sabah itu adalah satu-satunya pemimpin yang ada trek rekod di kerusi DUN Tanjung Keramat kerana beliau adalah wakil rakyat pertama kawasan itu sejak ia mula dipertandingkan pada September 2020.
“Pada bulan ini kita menyaksikan PRU Sabah, pesan saya, terutama pengundi berdaftar di Putatan dan Tanjung Keramat secara amnya, tunaikanlah kewajiban anda untuk keluar mengundi.
“Pilihlah wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan baik dan ada trek rekod cemerlang serta membawa kesejahteraan dan kestabilan politik di Sabah.
“Ini kerana, kita mahu keadaan (kerajaan) yang stabil supaya kita dapat pacu kemakmuran dan kesejahteraan di bandar-bandar, negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Talenttime Evergreen Songs Komuniti Madani Tanjung Keramat, Putatan di Dataran Tomoi, di sini, pada Sabtu.
Shahelmey berkata, walaupun mengundi adalah satu elemen demokrasi yang diikuti semua rakyat di negara ini, faktor kerajaan mempunyai keupayaan mentadbir secara stabil, kesejahteraan dan trek rekod yang baik perlu dipertimbangkan.
Beliau percaya penilaian terhadap faktor berkenaan mampu memberi jaminan kepada kelangsungan sesebuah kerajaan yang selama ini merakyat, mendahului ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sebelum ini, Shahelmey membayangkan mahu mempertahankan kerusi DUN Tanjung Keramat, namun belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak.
Jika bertanding, Shahelmey perlu menggunakan tiket parti lain kerana beliau sudah ditolak UMNO Sabah, namun jika berbuat demikian beliau mungkin terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Putatan dan berdepan saman RM100 juta daripada UMNO.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini sudah menyatakan kesediaan mencalonkan Shahelmey jika beliau bersetuju bertanding atas tiket GRS. – Info X