KOTA KINABALU: Hasrat Sabah FC mencipta kemenangan pertama dalam aksi Liga Super berkecai lagi apabila tewas 1-2 di tangan Selangor FC, malam ini.
Aksi di Stadium Likas itu adalah kekalahan yang keempat Sang Badak sepanjang saingan Liga Super setakat ini.
Kekalahan kali ini disebabkan jaringan Kapten Selangor, Mohd Faisal Abdul Halim yang berjaya menghasilkan gol kedua untuk Selangor pada minit ke-58.
Jaringan Faisal menyusul selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada akhir separuh masa pertama setelah Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43.
Sebelum itu, babak awal permainan menyaksikan tuan rumah mendahului jaringan 1-0 seawal minit kelapan menerusi tandukan penyerang Sang Badak, Fergus Tierney.
Sabah bagaimanapun gagal menambah jaringan, sebaliknya dikecewakan jaringan penyamaan selangor menerusi Alvin Mateus Fortes pada minit ke-43 menjadikan kedudukan 1-1 pada permulaan babak kedua.
Babak kedua menyaksikan perubahan taktikal kedua-dua pasukan dengan Sabah dilihat cuba memulakan perlawanan dengan serangan mengejut seawal minit ke-46.
Bagaimanapun, corak permainan Selangor bertambah agresif dengan beberapa cubaan menarik berjaya dicipta penyerangnya, sebelum akhirnya kapten pasukan, Mohd Faisal menjaring gol kemenangan pada minit ke-58.
Setakat ini, Sabah hanya mampu mencatat empat seri dan empat lagi tewas, sekali gus mengekalkan kedudukannya di tangga ke-10 carta liga dengan hanya mengumpul empat mata daripada lapan perlawanan. – Info X