Search

SPRM Sabah syor sembilan penambahbaikan tatakelola MUIS

November 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memperkukuh pengurusan agihan zakat di negeri ini.

Cadangan itu dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, dalam satu sesi pembentangan di pejabat MUIS, Jumaat lalu, yang turut disertai Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.

Antara syor yang dikemukakan ialah penambahbaikan terhadap Perkara 5.3.1 dan 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan istilah “individu” kepada kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah serta “organisasi” iaitu merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.

Cadangan lain ialah menambah bahagian yang terlibat secara langsung iaitu kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah yang mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat seperti pungutan, agihan dan urusan kewangan di bahagian berkenaan.

Datuk Ramlan Awang Ali (kanan) dan Datuk Mohd Fuad Bee Basrah (kiri) menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang diadakan di pejabat MUIS, Jumaat lalu.

Mohd Fuad turut mencadangkan supaya meletakkan had nilai yang munasabah dan hendaklah dimaklumkan serta mendapat pertimbangan daripada Majlis Tertinggi MUIS sebelum sesuatu perbelanjaan atau apa-apa perkara dilakukan.

Justeru, SPRM Sabah telah mengenalpasti sembilan syor penambahbaikan tatakelola di dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan agihan wang zakat dalam manual prosedur pengurusan agihan zakat (Pindaan 2023) di Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS.

Sementara itu, Ramlan berkata pihaknya menyambut baik cadangan penambahbaikan dan bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang dikemukakan oleh SPRM Sabah.

“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana membantu MUIS dalam usaha menutup ruang serta peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya selepas menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola berkenaan. – Info X