Search

Tiga lelaki ditahan, syabu dan ketum dirampas

November 2, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu, semalam.

Dalam operasi antara jam 11.30 pagi hingga 4.30 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu dan serbuk ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,434.10.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Bugis Batu 1, Jalan Segama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 0.13 gram syabu, manakala ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah.

“Serbuan kedua di Kampung Puyut, Jalan Pantai Lahad Datu, membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun.

“Polis merampas 5.18 gram syabu bersama beberapa gulung kertas timah. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, dalam tindakan ketiga di Jalan Reno Fajar, Lahad Datu, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan selepas polis menemui 10 kilogram serbuk ketum yang dipercayai untuk diedarkan.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Lahad Datu, dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini. – Info X