Search

PRU Sabah: Akar umbi UMNO mahu calon parti itu wakil BN di Tanjung Kapor

November 3, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Pemimpin dan ahli akar umbi UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor mahu calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO diletakkan di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Menyuarakan perkara itu, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Kapor, Marbun Kunmalon, berkata kepemimpinan peringkat akar umbi UMNO di kawasan berkenaan sebulat suara meminta pucuk pimpinan BN dan UMNO memberi laluan kepada calon dari parti itu.

Katanya, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian bersama 15 Ketua PDM di kawasan DUN Tanjung Kapor bermesyuarat pada Ahad bagi membincangkan perkara itu dan bersetuju agar calon UMNO diletakkan berdasarkan sokongan kuat terhadap parti berkenaan.

“Kami AJK UMNO Bahagian dan Ketua-Ketua PDM di N4 Tanjung Kapor di Bahagian UMNO Kudat dengan ini memohon pucuk pimpinan UMNO dan BN untuk memberi peluang kepada calon dari UMNO bertanding di kerusi DUN Tanjung Kapor pada PRU Sabah Ke-17.

“Kita ada pengundi putih dan penyokong BN dari B40 yang mampu memberi satu kerusi untuk BN, berbanding parti lain. Kami sudah lama menunggu peluang keemasan ini.

“Parti lain dalam BN tiada kekuatan, tiada jentera di PDM dan tidak mampu memberi saingan terhadap pihak lawan pada PRU Sabah Ke-17 ini,” katanya kepada media, di sini, pada Isnin.

Difahamkan, BN bercadang memberi laluan kepada MCA untuk meletakkan calon di kerusi itu berikutan secara tradisi ia ditandingi pemimpin Cina walaupun pengundi majoritinya terdiri daripada Bumiputera Islam, diikuti Bumiputera bukan Islam.

Sebelum jatuh ke tangan pemimpin Parti Warisan pada 2018 yang kini menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kerusi DUN Tanjung Kapor diwakili BN melalui pemimpin dari Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak 2004 ketika parti itu bersama BN sebelum ini.

MCA sebelum ini hanya diberikan kerusi majoriti pengundi Cina, khususnya kerusi DUN di kawasan Kota Kinabalu dan Penampang, selain Sandakan.

Marbun berkata, BN perlu menggunakan strategi yang betul dengan menurunkan calon dari masyarakat Bumiputera Islam selaku pengundi majoriti di Tanjung Kapor.

“Saingan utama PRU Sabah Ke-17 adalah Parti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dijangka meletakkan calon Cina.

“Jadi ada baiknya BN meletakkan calon Bumiputera Islam untuk mencabar parti lawan, lebih-lebih lagi kita sudah lama menunggu peluang untuk Tanjung Kapor diwakili UMNO.

“Soal utama yang harus kita ambil kira ialah untuk menang sebanyak mungkin kerusi DUN, bukan mengambil hati rakan komponen hanya untuk bertanding tetapi akhirnya kalah,” katanya.

Sejajar dengan itu, katanya, pimpinan akar umbi UMNO di Tanjung Kapor bersetuju meminta pucuk pimpinan UMNO supaya meletak calon dari parti itu di kerusi berkenaan.

Perkara itu katanya adalah antara resolusi yang diputuskan ketika mesyuarat mereka pada Ahad untuk diserahkan kepada pimpinan tertinggi BN dan UMNO.

“Dua lagi resolusi yang dipersetujui ialah pimpinan akar umbi UMNO di Tanjung Kapor menolak dan membantah calon selain dari UMNO serta akan menutup markas PDM jika bukan calon dari UMNO yang dinamakan di Tanjung Kapor,” katanya.

Katanya, UMNO mempunyai 135 cawangan di DUN Tanjung Kapor dengan jumlah keahlian seramai 10,282 orang membabitkan seramai 9,100 pengundi putih.

Pada PRU Sabah Ke-17 yang dijadual 29 November ini, terdapat kira-kira 34,000 pengundi di kerusi DUN Tanjung Kapor dengan seramai 19,000 pengundi terdiri daripada Bumiputera Islam, diikuti kira-kira 8,000 pengundi Bumiputera bukan Islam.

Pengundi Cina di kerusi Tanjung Kapor hanya seramai kira-kira 5,000 orang, manakala selebihnya adalah lain-lain pengundi. – Info X