Search

IPD Kalabakan tingkat kawalan keselamatan sempadan

November 2, 2025

Info X Reporters

KALABAKAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan dengan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kalabakan dan perumahan anggota yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta memperkukuh keupayaan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan berisiko tinggi.

“Pembinaan IPD Kalabakan ini bukan hanya menambah baik kemudahan dan infrastruktur untuk pasukan polis, tetapi juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan.

“Pembangunan itu juga sejajar dengan nilai Ihsan dalam konsep Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keseimbangan hidup penjawat awam, khususnya mereka yang bertugas menjaga keselamatan rakyat,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa utama dan melibatkan pembinaan bangunan IPD, balai polis serta 110 unit kuarters pelbagai kelas lengkap dengan surau dan kemudahan lain.

Saifuddin berucap sempena Majlis pecah tanah IPD dan Balai Polis Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan.

“Kerja-kerja tanah bagi Fasa 1 telah ditender pada 10 September lalu dan dijangka bermula 13 Januari 2026 hingga 12 Julai 2027.

“Bagi Fasa 2 yang melibatkan pembinaan bangunan utama pula dijangka bermula Ogos 2027 sehingga Ogos 2030,” katanya.

Tambah beliau, penubuhan IPD Kalabakan ini juga penting bagi menyokong status Kalabakan sebagai daerah pentadbiran baharu sejak 2019 serta mengimbangi pembangunan pesat di Kalimantan, susulan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara.

“KDN yakin projek ini akan menjadi mercu tanda baharu yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Saya menyeru semua pihak terlibat supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah agar projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat optimum kepada rakyat Sabah, khususnya di Kalabakan,” katanya.

Justeru katanya, pelaksanaan projek strategik itu akan memperkukuh kehadiran kerajaan di kawasan sempadan, memperluas perkhidmatan PDRM dan mempertingkatkan keselamatan negara secara keseluruhan.

Majlis berkenaan turut dihadiri pegawai kanan KDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, PDRM, PBLT Sdn Bhd, serta ketua jabatan dan agensi di bawah KDN. – Info X