Search

Ericson wakili Malaysia ke kejohanan dunia TCG di Korea Selatan

November 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Anak jati Sabah, Ericson Lotidis, mencipta sejarah apabila muncul Juara Cookie Run Trading Card Game (TCG) – Brave League 2025 Season 2 Final Malaysia, yang berlangsung di World Trade Centre, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kejohanan berprestij itu menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara nasional dan peluang untuk mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat dunia di Korea Selatan pada April 2026.

Selain Ericson, wakil Sabah turut disertai tujuh lagi pemain iaitu Jivinod J Kuyun, Joanna Chin Mei Ling, Alvin Jonathan Joymon, Renge Soon Lee Wah, Farren Tan, Chin Hui Juen dan Lim Lianq Jou.

Daripada lapan wakil itu, dua pemain, iaitu Ericson dan Farren berjaya mara ke peringkat Top 8, namun hanya Ericson berjaya meneruskan kecemerlangan hingga ke peringkat akhir, di mana beliau menumpaskan lawannya untuk dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan.

Dalam perlawanan akhir yang sengit, Ericson menggunakan Deck Red Velvet Midrange, namun tewas pada pusingan pertama, sebelum beliau berjaya bangkit dan menewaskan lawan dalam dua pusingan berikutnya dengan strategi berkesan.

Kad Fire Spirit Cookie menjadi kad penentu kemenangan yang digelar sebagai ‘kad harapan’ dalam dek beliau, kemudian membawa kejayaan gemilang ke negeri di bawah bayu.

Dengan kemenangan itu, Ericson bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Cookie Run TCG di Korea Selatan, menjadikannya wakil tunggal negara ke kejohanan antarabangsa itu.

Semua perbelanjaan perjalanan dan penyertaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Acara utama dunia itu akan menghimpunkan pemain dari 10 wilayah kompetitif utama, merangkumi Korea, Taiwan, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat dan Kanada.

Kejohanan itu menjadi pentas penyatuan pemain global dalam satu pertandingan berprestij bagi menentukan juara dunia Cookie Run TCG.

Permainan Cookie Run Trading Card Game (TCG) atau dikenali sebagai permainan kad dagangan, menuntut daya fikir kritikal yang tinggi serta kemahiran matematik bagi membuat keputusan tepat dalam masa singkat.

Ia mengasah minda pemain dan pada masa sama menggalakkan interaksi sosial yang sihat, memupuk persahabatan dan semangat kesukanan.

Dalam permainan Cookie Run TCG, setiap pemain membina dek 60 kad yang mengandungi pelbagai watak ‘Cookie’ dan kad sokongan.

Objektif utama permainan adalah untuk menewaskan lawan dengan menyebabkan jumlah ‘Fainted Cookies’ di kawasan ‘Break Area’ mencecah 10 atau lebih.

Permainan itu direka bagi memudahkan pemain baharu belajar asas permainan, sambil tetap mengekalkan kedalaman strategi yang mencabar untuk pemain berpengalaman.

Ia semakin mendapat tempat dalam kalangan pemain muda Malaysia, dengan penyertaan seawal usia sembilan tahun ke atas.

Kejayaan Ericson Lotidis bukan sahaja mengangkat nama Sabah tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, membuktikan bahawa anak muda tempatan berpotensi besar dalam arena permainan kad strategi dunia. – Info X