KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak ‘membuang’ mana-mana pemimpinnya selepas beberapa bekas pemimpin parti komponen gabungan itu dilihat menyertai parti lawan sejak kebelakangan ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, sebaliknya berkata pemimpin terbabit yang ‘membuang’ diri mereka sendiri selepas tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
“Kita tidak buang, mereka yang buang diri mereka kerana tidak dapat jadi calon, mereka fikir calon saja. Jadi, tidak dapat (jadi calon), mereka pergi.
“Kalau begitu, macam mana mahu jadi pemimpin, pejuang, kita kena ada kualiti itu. Bukan kerana tidak dapat calon kita merajuk.
“Jadi saya harap parti lain pun fikirlah sebelum ambil mereka,” katanya ditemui pemberita selepas majlis penyampaian watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda yang menyertai program Felo SMJ di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa bekas pemimpin GRS yang dilihat meninggalkan parti dan menyertai parti lain, khususnya Warisan.
Katanya, ramai yang melobi untuk menjadi calon dan apabila tidak terpilih, ada yang mengambil tindakan meninggalkan parti bagi menyertai parti lain.
Menjelang penamaan calon pada 15 November depan, kebanyakan parti sudah memuktamadkan kerusi dan calon masing-masing sebelum diumumkan tidak lama lagi. – Info X