KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 11 atau 12 November ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pemilihan calon mewakili gabungan itu sudah selesai walaupun banyak yang melobi.
“Pengumuman calon nanti kita akan umum dekat-dekat nanti (hari penamaan calon).
“Jadi, saya ingat selesai sudah, ramai juga yang melobi-melobi itu yang tidak dapat, ada yang sudah masuk parti lain.
“Pengumuman calon saya ingat saya akan buat mungkin sekitar 11 atau 12 hari bulan, iaitu tiga atau empat hari sebelum penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda yang menyertai program Felo SMJ di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Ketua Menteri itu berkata kerjasama dengan gabungan itu masih ada walaupun ada beberapa kerusi dijangka bertembung dengan GRS.
Sementara itu, katanya GRS akan mengumumkan manifestonya beberapa hari selepas penamaan calon nanti. – Info X