Search

PRU Sabah: Pertembungan pemimpin utama di Moyog, Mandela antara pencabar Darell

November 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dijangka bakal menyaksikan pertembungan beberapa pemimpin utama parti pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.

Selain Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking yang dijangka akan mempertahankan kerusi itu, turut disebut-sebut bakal bertanding ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin.

Sebelum ini, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick selaku Ahli Parlimen Penampang turut disebut antara calon bagi kerusi itu, namun sumber terdekat parti berkenaan membayangkan Ewon mungkin mahu mempertahankan kerusi DUN Kadamaian yang disandangnya sejak 2018.

Turut disebut-sebut sebagai pemimpin berpotensi untuk membawa perubahan di Moyog ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun yang dijangka dicalonkan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tidak ketinggalan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), selain beberapa lagi parti kecil lain dan calon bebas turut dijangka meletakkan calon di Moyog.

Setakat ini tiada perkembangan terkini sama ada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut mengintai kerusi DUN Moyog, namun siapapun boleh membuat keputusan saat akhir sebelum hari penamaan calon pada 15 November ini.

Apa yang pasti, Darell yang menyandang kerusi itu sejak September 2020 dijangka tidak lagi berdepan laluan mudah untuk memenangi semula kerusi berkenaan selepas mendapat majoriti selesa hampir 6,000 undi pada PRU Sabah Ke-16.

Kelebihan undi dimenangi Darell pada masa itu mungkin atas keyakinan pengundi Moyog bahawa Warisan mampu mengekalkan kedudukan sebagai parti pemerintah.

Namun, dengan perubahan kerajaan selepas itu dan pola sokongan pengundi Kadazandusun Murut Rungus (KDMR), Warisan dilihat sukar untuk mempertahankan Moyog walaupun ditandingi Darell, berikutan kedudukannya sebagai pembangkang.

Bagaimanapun, tempoh berkempen yang panjang selama dua minggu sebelum hari mengundi pada 29 November depan bakal menjadi penentu keupayaan mana-mana parti, sama ada Warisan, UPKO, GRS atau parti lain, malah calon bebas sekalipun.

Dengan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru dijangka berlaku di kerusi majoriti pengundi Kadazandusun itu, ia sudah pasti menjadikan Moyog antara kerusi panas yang menjadi tumpuan pada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Donald boleh dianggap sebagai orang lama kerana pernah sepenggal menyandang kerusi DUN Moyog selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Ketika itu UPKO masih bersama Barisan Nasional (BN) yang dianggap sukar dikalahkan, lebih-lebih lagi Donald turut dibayangi aura kepemimpinan bapanya, mendiang Datuk Peter Mojuntin yang disanjung rakyat Penampang, khususnya di Moyog.

Sementara itu, Mandela, 35, meskipun pernah bertanding dan tewas di tangan Darell di Parlimen Penampang pada PRU 2018, adalah pemimpin muda yang dilihat berpotensi mencorakkan wajah baharu Penampang dan Moyog khususnya di bawah GRS.

Beliau adalah generasi pelapis yang mampu membawa idea baharu untuk melaksanakan lebih banyak pembangunan dan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat kawasan itu, menggantikan penyandang dan bekas ADUN Moyog sebelum ini, termasuk ayahnya, Datuk Clarence Bongkos Malakun.

Sebagai orang muda, Mandela pastinya mempunyai pendekatan yang bersesuaian dengan jiwa orang muda tapi tetap memahami jiwa orang lama dan tidak meminggirkan mereka dalam memberikan khidmat kepada rakyat di Moyog.

Selaku Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog dan wakil parti pemerintah, kudrat khidmatnya sering dilihat terutama ketika rakyat Penampang ditimpa bencana, termasuk ketika banjir dan tanah runtuh pada September lalu.

Bukan hanya itu, banyak lagi yang diusahakan Mandela secara diam-diam demi kawasan Moyog, terutama soal kebajikan rakyat bagi memastikan tiada penduduknya yang terpinggir sepanjang diwakili ADUN pembangkang selama ini.

Sama ada Mandela, Donald, Darell atau siapa saja pemimpin yang akan bertanding selepas hari penamaan calon pada 15 November ini, mereka pastinya dinilai dengan teliti oleh seramai 31,084 pengundi yang bakal menentukan wakil mereka di DUN selepas 29 November nanti. – Info X