Search

PRU Sabah: ‘UPKO lawan PKR di Inanam’

November 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam bukan saja dijangka menyaksikan pertembungan paling ramai calon, malah mungkin pertembungan sesama rakan parti komponen pada PRU Sabah Ke-17.

Ia berikutan ura-ura mengenai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bakal meletak calon bagi mencabar penyandangnya, Datuk Peto Galim yang dijangka akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Peto sudah hampir pasti dicalonkan semula oleh PKR dan jika UPKO mencabarnya, ia bermakna dua parti komponen PH bakal bersaing di kerusi DUN Inanam pada pilihan raya itu nanti.

Difahamkan, UPKO mungkin mencalonkan Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook yang bukan nama asing kepada masyarakat di kawasan Inanam.

Wong sudah lama berkhidmat sebagai pemimpin akar umbi yang gigih memperjuangkan kepentingan penduduk setempat melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan, khususnya di Inanam.

Beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat, khususnya dalam menyuarakan isu-isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat bandar dan luar bandar.

Dalam kalangan penduduk setempat, nama beliau sering dikaitkan dengan pelbagai program komuniti seperti aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan selain sering menyantuni golongan berpendapatan rendah di Inanam.

Pencalonannya dijangka mendapat sokongan padu akar umbi di Inanam terutama mereka yang pernah melihat hasil kerjanya sebelum ini.

Sementara itu, beberapa pemerhati politik tempatan berpendapat, kehadiran Wong dalam gelanggang politik Inanam mampu memberikan nilai tambah kepada PH dan UPKO, khususnya dalam memperkukuh sokongan pengundi Cina dan Bumiputera bandar di Inanam.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain berkata, kekuatan Wong terletak kepada hubungan peribadi yang erat dengan penduduk setempat serta kemampuan beliau menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Ini menjadikan beliau antara calon yang sukar disaingi dari segi pengaruh akar umbi. Rata-rata rakyat menyatakan keyakinan terhadap kemampuannya membawa suara rakyat Inanam ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi peluang untuk berkhidmat.

“Mereka melihat pengalaman dan jaringan luas beliau sebagai faktor penting dalam mempercepat pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan tempatan.

“Selain itu, gaya kepimpinan beliau yang sederhana, mesra rakyat dan tidak gemar menonjol diri menjadikannya antara pemimpin politik yang dihormati pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ahli parti lain,” katanya.

Sementara itu, sumber dalaman parti mengesahkan Wong antara nama bakal calon yang sedang dipertimbangkan dalam rundingan awal bagi menentukan calon berpotensi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi masih tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan tertinggi UPKO dan pimpinan PH.

Jika pencalonan beliau disahkan, Wong dijangka berdepan saingan sengit parti lawan yang turut berhasrat menawan kerusi Inanam yang selama ini dianggap antara kerusi panas di Parlimen Sepanggar.

Sebelum ini, beberapa nama disebut-sebut bakal bertanding di Inanam antaranya Edna Majimbun (Warisan), Shone Majimbun (Bebas Gelombang Hitam), Datuk George Guntarik (PKDM), Datuk Kenny Chua (STAR), Paul Anap (PIS), Cecily Wilfred Gismin (Aspirasi), Datuk Peter Chia (Perjuangan Rakyat), Martin Sibit (bebas).

Kerusi DUN Inanam mempunyai seramai 45,525 pengundi dwngan majoritinya Bumiputera bukan Islam, diikuti Cina. – Info X