SEMPORNA: Cubaan menyeludup minyak petrol subsidi keluar dari perairan negara gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan itu dalam operasi khas di perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, di sini, hari ini.
Operasi bermula jam 7.50 malam 3 November hingga 3.45 pagi tadi dijalankan oleh Unit Risikan Marin bersama bot rondaan PPM Semporna hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas dua bot laju lengkap dengan enjin dan 112 tong berisi petrol dipercayai cuba diseludup keluar.
“Dalam operasi berkenaan, dua individu warga asing turut ditahan kerana disyaki terbabit secara langsung dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan bahan api terbabit dianggarkan bernilai RM111,277.75,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian serta pihak lain yang terlibat dalam kegiatan itu.
Sementara itu, Mohd Nazri berkata pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan risikan bagi memastikan perairan Sabah bebas daripada sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi serta keselamatan negara. – Info X