Search

Lelaki bogel cium kanak-kanak dalam rumah ditahan

November 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan keji seorang lelaki dipercayai warga asing yang menceroboh rumah seorang suri rumah dalam keadaan berbogel sebelum mencium pipi dan dahi seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun membawa padah apabila dia berjaya ditahan polis, pagi tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumahnya sebelum tersedar apabila menyedari suspek tanpa pakaian berada di sisinya.

Suspek warga asing berusia lingkungan 20 tahun itu kemudian bertindak mencium pipi dan dahi mangsa.

Terkejut dengan perbuatan jijik itu, mangsa menjerit ketakutan sehingga mengejutkan ibunya yang bergegas keluar dari bilik.

Suspek sempat melarikan diri selepas kejadian sebelum mangsa dan ibunya membuat laporan polis tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau segera digerakkan bagi mengesan suspek terbabit.

“Hasil tindakan pantas itu, suspek akhirnya berjaya ditahan di perkarangan IPD Tawau kira-kira jam 10 pagi hari sama untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya meningkatkan kawalan keselamatan rumah serta memberi perhatian terhadap pergerakan anak-anak, terutama pada waktu malam dan kawasan penempatan terbuka. – Info X