TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis tengah hari tadi selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dalam kejadian di Jalan Apas, di sini, pada Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau segera digerakkan bagi mengesan suspek terbabit.
“Hasil operasi berkenaan, suspek warga tempatan berusia 23 tahun akhirnya berjaya ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di perkarangan Lapangan Terbang Tawau.
“Penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian rogol terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun pada 26 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 malam dengan alasan mahu berjumpa rakan, namun sebenarnya bertemu suspek yang dikenalinya.
“Ketika berada di lokasi kejadian, mangsa dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum suspek memperlakukannya.
“Mangsa kemudian pulang ke rumah dalam keadaan trauma dan memaklumkan kejadian kepada ibunya,” katanya.
Jasmin berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau berkata polis tidak akan berkompromi dalam kes jenayah seksual melibatkan golongan rentan, termasuk remaja yang mudah terdedah kepada risiko mahupun ancaman.
“Polis turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta peka terhadap perubahan tingkah laku mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X