Search

Remaja lelaki ditahan rogol teman wanita bawah umur hingga hamil enam bulan

November 5, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol teman wanitanya yang kini hamil enam bulan dalam kejadian yang dipercayai berlaku beberapa bulan lalu di kawasan Taman Sri Balung, di sini.

Kejadian itu terbongkar apabila seorang wanita membawa adik angkatnya menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di Taman Sawit, sebelum doktor mengesahkan remaja perempuan berusia 15 tahun itu mengandung.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mengaku telah dibawa oleh teman lelakinya ke sebuah rumah di Taman Sri Balung sebelum dirogol.

“Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan operasi khas di Bandar Sri Indah dan berjaya menahan suspek berusia 19 tahun itu beberapa jam kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Jasmin turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, terutama golongan remaja, bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

“Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat.

“Peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – Info X