Search

Diskaun saman trafik hingga 70 peratus di Kota Kinabalu

November 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Orang ramai berpeluang menikmati pengurangan bayaran saman trafik sehingga 70 peratus apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kempen khas bermula 1 November hingga 30 Disember ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kempen itu dilaksanakan selaras dengan arahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) susulan pengumuman rasmi Menteri Dalam Negeri pada 22 Oktober lalu.

Katanya, kempen berkenaan memberi peluang kepada orang ramai melunaskan saman trafik dengan kadar lebih rendah dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.

“Bayaran saman boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar PDRM bagi pengguna yang telah berdaftar dengan MyDigital ID, atau secara fizikal di Kaunter Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.

“Tawaran pengurangan itu tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable / NC), manakala pengurangan hanya tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Kasim menyeru semua pemilik kenderaan supaya mengambil kesempatan ini untuk menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh kempen tamat pada 30 Disember nanti.

“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan disiplin pemandu sekali gus menyokong usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat di jalan raya,” katanya. – Info X