TAWAU: Seorang lelaki cedera ringan selepas rumah atas air yang didiaminya runtuh sepenuhnya dalam kejadian di Kampung Hidayat, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.18 pagi dan mendapati sebuah rumah atas air telah runtuh sepenuhnya.
“Seorang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pasukan bomba turut menasihati penghuni rumah berhampiran supaya mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 pagi,” katanya. – Info X