KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan sebuah kapal kargo disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan dua batu nautika timur laut Tanjung Tajau Laut di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan dilakukan oleh aset rondaan APMM hasil pemantauan rutin di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal dikendalikan oleh 16 kru lelaki termasuk seorang kapten kapal warga Vietnam.
“Siasatan awal mendapati kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh daripada pihak berkuasa pelabuhan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana bersauh di perairan negeri tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Dua kru kapal termasuk kapten dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada.
“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara,” katanya.

Beliau menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan serta mendapatkan kebenaran sewajarnya sebelum menjalankan sebarang aktiviti di perairan Sabah.
Katanya, APMM akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara. – Info X