KOTA KINABALU: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, Kota Belud dan Tuaran, minggu ini.
Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan aduan awam selama seminggu sebelum pasukan penguat kuasa menjalankan serbuan antara 4 hingga 6 November lalu.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Jumaat, operasi membabitkan 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu itu dilaksanakan menerusi dua siri iaitu Ops Selera dan Ops Sapu.
“Dalam operasi berkenaan, seramai 195 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 11 daripadanya adalah pendatang tanpa izin yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Semua PATI terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki pas perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.
“Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, JIM Sabah akan terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin.
“Jabatan juga menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa dokumen di kawasan masing-masing bagi membantu membanteras kegiatan ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, penguatkuasaan berterusan adalah penting bagi menjamin keselamatan awam dan kesejahteraan sosial di Sabah. – Info X