Search

Remaja ditemui lemas dalam sungai

November 8, 2025

Info X Reporters

TAMPARULI: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika mandi di Sungai Tamparuli, Kampung Botung, di sini, semalam ditemukan pagi tadi.

Mangsa, Randell Junior Rony, 16, ditemui pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu pada jam 9.15 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Nor Amit, berkata operasi hari kedua bermula jam 6.50 pagi menggunakan kaedah permukaan (surface searching) bagi menjejaki mangsa di sekitar lokasi kejadian.

“Hasil pencarian itu membawa kepada penemuan mayat mangsa oleh pasukan penyelam pada kedalaman lima meter, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan penyelamat menemui mangsa pada kedalaman lima meter, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurutnya, operasi SAR ditamatkan pada jam 10.30 pagi selepas mangsa berjaya dibawa naik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Operasi disertai 11 anggota bomba dengan bantuan empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam, mangsa dilaporkan hilang dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan.

Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 petang kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Bagaimanapun, operasi SAR bersama agensi lain itu terpaksa dihentikan pada jam ekoran keadaan gelap di lokasi kejadian. – Info X