LAHAD DATU: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri daripada polis tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditahan bersama 50 kilogram serbuk ketum di Jalan Kampung Terusan, Jalan Silam, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas dikesan berada di dalam sebuah kenderaan jenis Proton X50.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis, namun usahanya gagal selepas berjaya dipintas dan ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui 50,000 gram atau 50 kilogram serbuk ketum yang dibungkus dalam plastik kecil berlogo ‘Joker’, selain 22 botol ubat batuk jenama Dynadryl Syrup (100ml setiap satu).
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,250,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek serta semua barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“PDRM Lahad Datu akan terus komited membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang di daerah ini,” katanya. – Info X