Search

PRU Sabah: Dua Ahli Parlimen antara 8 calon DAP

November 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua Ahli Parlimen DAP adalah antara lapan calon mewakili Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Sandakan yang juga Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong Shir Yee.

Foong Hin, 46, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, manakala Vivian, 36, yang juga Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah bertanding di kerusi DUN Elopura.

Nama mereka diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon DAP, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe yang juga penyandang kerusi DUN Luyang berpindah ke kerusi DUN Likas, manakala seorang muka baharu yang juga Ketua Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei mengambil alih tempatnya di kerusi DUN Luyang.

Dua lagi muka baharu yang dicalonkan DAP ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Tang Szu Ching di kerusi DUN Tanjung Papat dan Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap di kerusi DUN Sri Tanjong.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang kekal bertanding di kerusi berkenaan.

Anthony berkata satu lagi kerusi yang terletak di kawasan pedalaman belum dapat diumumkan berikutan masih ada perbincangan dengan parti dalam kerajaan.

Bagaimanapun, katanya kerusi itu akan tetap ditandingi DAP sejajar keputusan parti itu untuk bertanding di lapan kerusi.

Difahamkan kerusi berkenaan ialah DUN Kemabong yang disandang Datuk Rubin Balang dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X