SEMPORNA: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke negara ini gagal apabila berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, sepasukan anggota PPM yang menjalankan rondaan rutin mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Pantau-Pantau, di sini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata pihaknya terus menahan bot laju berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 23 individu warga asing berada di atas bot berkenaan yang dipercayai cuba menyusup masuk ke Malaysia dari negara jiran melalui jalan laut.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan dipercayai terlibat dalam cubaan penyeludupan manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan di kawasan perairan Sabah terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan ‘panas’ bagi aktiviti penyeludupan manusia dan barangan terlarang.
“PPM Wilayah 4 akan memperkukuh risikan serta memperhebat kawalan keselamatan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.
“Orang awam diminta agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan atau pergerakan mencurigakan di kawasan perairan bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu sepenuhnya,” katanya. – Info X