KOTA KINABALU: DAP Sabah tetap bertanding lapan kerusi termasuk satu kerusi di pedalaman yang belum diumumkan berikutan masih ada perbincangan dengan parti lain dalam gabungan kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerusi itu sudah dipersetujui untuk ditandingi DAP, namun menangguhkan pengumumannya kerana menghormati rakan parti yang masih mahu berbincang.
Bagaimanapun, katanya DAP kekal dengan keputusan meletakkan calonnya di kerusi itu bagi melengkapkan lapan kerusi untuk ditandingi atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
“Ada satu kerusi di pedalaman (yang tidak diumumkan) sebab ada perbincangan belum selesai. Memang persetujuan asal, kita akan tanding di kerusi itu namun masih ada perbincangan.
“Kita tiada masalah bincang, namun kita sasarkan kerusi itu dan dari awal kita nyatakan jumlah sasaran kita hanya lapan kerusi. Kita bukan tamak, kita tanding di kawasan yang ada peluang untuk menang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya dan mengumumkan calon DAP, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan senarai calon di tujuh kerusi yang sudah sah ditandingi DAP iaitu Luyang, Likas, Tanjung Aru, Kapayan, Elopura, Tanjung Papat dan Sri Tanjong.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut kerusi yang belum diumumkan itu, namun difahamkan kerusi terbabit ialah DUN Kemabong di Tenom.
Ketika ini kerusi itu disandang Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang difahamkan turut mahu mempertahankannya atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Difahamkan, DAP mahu mencalonkan bekas Ahli Parlimen Tenom yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah, Senator Noorita Sual sebagai calonnya di kerusi berkenaan.
Anthony berkata, DAP mempunyai trek rekod di kerusi terbabit kerana pernah diwakili oleh seorang Ahli Parlimen DAP sebelum ini.
“Kita memang ada trek rekod di sana dan kita pernah ada wakil rakyat di sana, seorang calon tempatan yang dihormati dan dari kajian kita, beliau mempunyai peluang menang yang paling tinggi.
“Keputusan dalaman parti sudah dibuat, tapi dari awal lagi bincang kerana kita hormat atas dasar persefahaman. Kita menghormati keharmonian dalam gabungan kita khususnya gabungan utama dalam kerajaan,” katanya.
Katanya, masih ada masa seminggu lagi untuk berbincang mengenai kerusi terbabit sebelum penamaan calon pada Sabtu depan.
Kerusi DUN Kemabong dijangka turut ditandingi calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan Warisan. – Info X