PUTATAN: Program MOTAC Bersama Komuniti Petagas menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu disifatkan sebagai usaha positif dalam mengekalkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Pengerusi Ahli Lembaga Peladang Muda Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata penganjuran program itu juga adalah usaha berterusan mengekalkan keharmonian dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, semangat kebersamaan seperti itu perlu diperkukuh dari semasa ke semasa agar hubungan antara komuniti pelancongan dan masyarakat pelbagai etnik terus terpelihara, sejajar dengan aspirasi perpaduan negara.

“Ini satu program yang cukup baik dalam usaha mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum, khususnya di Putatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MOTAC Bersama Komuniti Petagas yang di Tapak Mobile Kiosk Putatan.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan, termasuk Pertandingan Nyanyian Lagu Etnik, Pertandingan Memasak Kuih Tradisional Penjaram, Pertandingan Karom serta persembahan budaya Betitik dan Limbai.
Acara itu mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat dengan lebih 800 pengunjung membanjiri Tapak Mobile Kiosk Putatan.
Program itu dianjurkan MOTAC dengan kerjasama Persatuan Amal Kebajikan Tempasuk Kota Belud dan Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan.

Penganjurannya juga sebagai usaha untuk mencungkil bakat, memelihara warisan budaya dan mengukuhkan perpaduan komuniti. – Info X