Search

PRU Sabah: Rubin Balang calon GRS Kemabong – KM

November 8, 2025

Info X Reporters

TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan penyandang kerusi DUN Kemabong, Datuk Rubin Balang sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Beliau yang juga Pengerusi GRS mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, di sini, pada Sabtu.

“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu daripada pengundi di Kemabong, insyAllah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri dari kawasan konsesi Sabah Forest Industry (SFI) untuk dijadikan rizab kampung.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan GRS sudah mewartakan rizab kampung itu sebagai bukti kepekaan kerajaan terhadap keperluan rakyat.

“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, kita telah meluluskan lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI untuk tujuan ini,” katanya.

Hajiji berkata, di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga diperuntukkkan dan diberikan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat, sebab itu kita mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun di bawah Kerajaan GRS, jumlah penerima meningkat kepada 70,000 orang.

Hajiji turut berkata, Kerajaan Negeri memperoleh banyak manfaat daripada Perjanjian Kerjasama Kpmersial (CCA) dengan PETRONAS, sambil menegaskan bahawa Sabah kini mempunyai suara yang lebih besar dan penglibatan yang lebih luas dalam industri minyak dan gas.

“Dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), kini terdapat lebih 80 vendor tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas berbanding hanya 10 pada tahun 2022,” katanya.

Hajiji menambah bahawa jumlah vendor itu kini menguasai 36 peratus daripada pasaran kontrak.

Katanya, tidak seperti pihak pembangkang yang bermain politik dendam apabila mengambil alih kerajaan, GRS menumpukan pembangunan dan kemajuan melalui Hala Tuju SMJ 1.0.

“Jika rakyat memberikan semula mandat kepada GRS, kita akan meneruskan pembangunan di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.

“Kita tidak bermain politik. Kita tidak membuat janji kosong. Kita mempunyai agenda pembangunan, sedangkan pembangkang sanggup berjanji bulan dan bintang,” katanya. – Info X