Search

PRU Sabah: Chan Foong Hin mahu seimbangkan pembangunan Tanjung Aru

November 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin menyifatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru sangat penting berikutan kedudukanya sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu yang dicalonkan DAP bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi berkenaan, bagaimanapun berkata kawasan itu berdepan isu ketidakseimbangan pembangunan, terutama di Pulau Gaya yang masih ketinggalan.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu berkata, atas sebab itu Tanjung Aru yang kini disandang pemimpin Parti Warisan sejak 2018 memerlukan lebih perhatian daripada pemimpin yang mewakili kerajaan.

“Tanjung Aru ini dekat dengan Kota Kinabalu dan saya melalui kawasan ini setiap minggu, ia adalah kawasan yang amat penting kerana menjadi pintu masuk untuk Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Pelancong datang melalui Tanjung Aru dan di sini ada Pantai Tanjung Aru yang terkenal sebagai lokasi melihat matahari terbenam, namun pembangunannya tidak seragam kerana Pulau Gaya yang menjadi sebahagian kawasannya masih ketinggalan,” katanya ditemui selepas pengumuman calon DAP Sabah, di sini, pada Sabtu.

Foong Hin adalah antara tujuh calon yang diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), 29 November ini.

Berikutan itu, Foong Hin yang sebelum ini pernah menyandang kerusi DUN Sri Tanjong di Tawau bakal mencabar Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong yang menyandang kerusi itu sejak 2018.

Junz sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat DAP ketika memenangi kerusi DUN Likas pada 2013, namun meninggalkan DAP dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas sebelum menyertai Warisan pada 2016.

Pada PRN16 September 2020, Junz memenangi kerusi DUN Tanjung Aru dengan majoriti 3,147 undi setelah mendapat 5,685 undi menewaskan calon terdekat dari Barisan Nasional (BN), Reduan Aklee yang mendapat 2,538 undi dalam pertandingan lapan penjuru.

Foong Hin berkata, setelah melihat keadaan Pulau Gaya, beliau menetapkan misi untuk membawa lebih banyak pembangunan ke pulau itu selaku Timbalan Menteri dan ADUN Tanjung Aru jika diberi mandat pada 29 November nanti.

“Antara yang kita lihat perlu dibuat di Pulau Gaya ialah membina satu kompleks pendidikan bagi memindahkan dua sekolah atas air di sana ke lokasi baharu di darat bagi mengatasi masalah hakisan ombak.

“Saya akan bertindak sebagai penghubung kawasan ini dengan kerajaan Pusat bagi mengintegrasikan semula Pulau Gaya dengan pembangunan arus perdana,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin menyifatkan pertembungan dengan Junz Wong di kerusi itu pada PRN17 nanti adalah persaingan biasa dalam pilihan raya.

Selain DAP dan Warisan, beberapa kerusi lain turut mengintai kerusi berkenaan, antaranya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, BN dan GRS dijangka tidak meletak calon selepas PH melalui DAP sudah disahkan akan bertanding di kerusi berkenaan selaras kerjasama PH-BN dan PH-GRS.

Kerusi DUN Tanjung Aru merangkumi kawasan Pulau Gaya, Sembulan dan Tanjung Aru adalah sebahagian kawasan perkadaran Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK), namun persempadanan pilihan raya dalam Parlimen Putatan. – Info X