KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta pentadbiran setiap peringkat daerah
menyediakan pangkalan data lengkap berkaitan potfolio daerah masing-masing bagi memudahkan pelaksanaan proses pembangunan.
“Setiap daerah perlu menyenaraikan projek-projek pembangunan yang sedang dan bakal dilakasanakan selain data lengkap penduduk di setiap kampung berkenaan.
“Dengan adanya bank data, ia akab memudahkan kerajaan merancang serta melaksanakan projek-projek pembangunan mengikut keutamaan serta keperluan penduduk setempat.
“Selain itu, pangkalan data itu juga penting agar tidak ada pertindihan peruntukan dari kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Bung Moktar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO bahagian Tenom di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan yang juga Ketua UMNO bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi .
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah memaklumkan pengkalan data terbabit turut penting bagi mengenalpasti projek-projek pembangunan sedia ada di setiap daerah terutamanya bagi kes-kes kerosakan jalan raya, jambatan dan parit yang sering dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) walupun ianya dibina dan dilaksanakan melalui peruntukan dari agensi lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pegawai Daerah juga perlu tahu jumlah rumah dan penduduk di setiap kampung yang ada di daerah masing-masing kerana ia akan memudahkan proses menyalurkan peruntukan dan bantuan selaras dengan keperluan masyarakat akar umbi.
“Data ini membolehkan tidak ada penduduk yang terlepas daripada bantuan dan pembangunan insfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik”
“Kita mahu memastikan kemudahan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian agar keseimbangan dalam pembangunan dapat diwujudkan agar tidak ada masyarakat terpinggir dari menikmati pembangunan.
“Pegawai-pegawai daerah perlu sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kordinasi dalam sistem pentadbiran daerah dapat diwujudkan,” katanya. – Info X