Search

Pemandu e-hailing disyaki pengedar ditahan bersama 2.1kg ekstasi

November 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-hailing yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis selepas ditemui bersama beg berisi serbuk disyaki ekstasi seberat lebih dua kilogram dalam serbuan di hadapan sebuah kedai cermin mata di Luyang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berusia 25 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg plastik merah sebelum ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg plastik yang dibawa suspek menemukan 95 paket kecil berwarna merah berlogo naga emas dan bertulisan Cina, mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan anggaran berat 2,100 gram.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan mencecah RM76,000.

“Suspek ditahan di lokasi selepas diperhatikan bertindak mencurigakan selama kira-kira 20 minit oleh pasukan serbuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pemandu e-hailing dan turut mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Suspek ditahan polis bersama beg berisi serbuk disyaki ekstasi seberat lebih dua kilogram dalam serbuan di hadapan sebuah kedai cermin mata di Luyang, di sini, malam tadi.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif bahan terlarang jenis ketamin dan benzodiazepine. Dua telefon bimbit turut disita untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan susulan ke rumah suspek di Luyang, tidak menemui sebarang barang salah lain, namun sebuah kereta Perodua Axia turut disita,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Bungkusan berisi serbuk disyaki ekstasi seberat lebih dua kilogram dirampas dalam serbuan di hadapan sebuah kedai cermin mata di Luyang, Kota Kinabalu.

Sementara itu beliau berkata JSJN Sabah akan terus mempergiat risikan dan operasi bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini. – Info X