PENAMPANG: Dari sekecil-kecil bantuan air minuman dan makanan hinggalah usaha membina semula rumah penduduk yang musnah akibat banjir lumpur dan tanah runtuh ketika bencana melanda daerah ini pada September lalu.
Itu antara tindakan proaktif Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun, membantu rakyat di daerah ini, khususnya di kawasan DUN Moyog yang ditimpa musibah.
Walaupun dilihat kecil, namun bantuan keperluan asas yang mendesak ketika mangsa banjir dan tanah runtuh ketiadaan air minuman dan bahan makanan, besar nilai kemanusiaannya kepada mereka yang terkesan.
Itulah keutamaan anak muda berumur 35 tahun itu ketika rakyat di kawasannya berdepan kesulitan meskipun dirinya bukan bergelar Yang Berhormat (YB) atau pemimpin ternama di kawasannya.
Malah, Mandela sendiri sering turun padang meninjau kawasan terjejas bencana dan menemui mangsa yang memerlukan bantuan serta sokongan bagi meringankan kesedihan dan kesukaran dihadapi mereka.
Perkara itulah yang dilakukan beliau ketika beberapa kampung dilanda banjir dan tanah runtuh pada September lalu, termasuk membawa sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau lokasi bencana.

Tujuannya cuma satu, iaitu mahu kerja pemulihan bencana disegerakan, khususnya tanah runtuh yang menjejaskan laluan jalan raya yang menjadi nadi perhubungan utama dan kediaman penduduk yang rosak ditimpa tanah runtuh atau dihanyut banjir.
Paling penting, kedatangan Ketua Menteri di lapangan bukan saja membawa mesej bahawa kerajaan memberi perhatian terhadap soal kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat, malah peringatan kepada agensi dan jabatan yang berkaitan supaya melaksanakan segera urusan membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.
Maka itulah yang dilaksanakan oleh Mandela supaya rakyat di sekitar DUN Moyog yang ditimpa musibah segera dibantu oleh pihak yang bertanggungjawab, selain usaha yang dilaksanakan atas inisiatifnya sendiri untuk memastikan rakyat di kawasan itu menerima pembelaan yang sewajarnya.
Lebih penting lagi, nasib yang menimpa rakyat di DUN Moyog turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat meninjau keadaan mangsa bencana di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah ini pada September lalu.
Kehadiran pemimpin nombor satu negara itu sudah pasti diiringi harapan agar penyaluran bantuan kepada mangsa dan peruntukan bagi menyelesaikan masalah banjir dan tanah runtuh di Penampang dapat disegerakan.
Itu antara antara harapan Mandela dan seluruh rakyat Penampang yang selama ini sama-sama disuarakan pemimpin di kawasan ini bagi menyelesaikan isu banjir yang sering menyebabkan kerosakan besar harta benda penduduk.
Bukan saja Mandela sendiri, beliau juga mempunyai pasukan yang sentiasa bersedia digerakkan untuk menghulur dan menghantar bantuan kepada rakyat di kawasan terjejas pada bila-bila masa.

Banyak yang dilaksanakan Mandela, antaranya atas usahanya sebuah keluarga yang rumah mereka dilanda banjir lumpur di Kampung Bukitas pada September lalu diluluskan bantuan Rumah Mesra SMJ oleh Ketua Menteri.
Mandela juga mengambil pelbagai inisiatif membantu penduduk kampung antaranya menyumbangkan polipaip bagi memasang paip graviti, antarnya di Kampung Timpangoh Babagon untuk menyelesaikan masalah air di kampung itu.
Bukan hanya penduduk kampung, malah Mandela juga tidak lupa keperluan anak-anak Penampang di institusi pendidikan di daerah ini, atas keprihatinan mengenai pentingnya mereka dapat menimba ilmu dengan selesa.
Antaranya, baru-baru ini beliau memberi sumbangan kerajaan negeri kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak untuk menaik taraf kemudahan di sekolah itu, selain menyumbang peralatan untuk asrama sekolah itu melalui Biro Pendidikan Gagasan Rakyat Moyog.
Itu sedikit sebanyak usaha dan inisiatif yang dibawa Mandela selaku wakil kerajaan negeri di DUN Moyog bagi memastikan rakyat di kawasan itu terus menerima perhatian daripada kerajaan meskipun wakil rakyatnya dari parti pembangkang.
Dalam kepalanya, sudah pasti tersimpan 1,001 perancangan untuk diketengahkan demi manfaat rakyat Penampang, khususnya di DUN Moyog jika kepemimpinannya dapat diterjemahkan ke tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang.
Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini, sudah pasti rakyat Moyog bakal membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat baharu mereka berdasarkan khidmat yang ditawarkan selama ini.
Jika Mandela ditakdirkan antara pemimpin muda yang diberi kepercayaan oleh Ketua Menteri untuk mewakili GRS di kerusi DUN Moyog, rakyat di kawasan itu sudah tentu tahu komitmennya terhadap rakyat Moyog yang tidak berbelah bahagi.
Sebagai pemimpin muda yang membesar seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, beliau pasti mempunyai perancangan untuk membawa perubahan yang lebih besar sama seperti kemajuan dibawa arus teknologi semasa tanpa melupakan nilai tradisi setempat di Penampang, khususnya di DUN Moyog. – Info X