KOTA KINABALU: Anak Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman disenaraikan antara 10 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Datuk Yamani Hafez Musa yang juga bekas Ahli Parlimen Sipitang dicalonkan di kerusi DUN Sindumin yang ketika ini disandang Datuk Dr Yusof Yacob dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Nama bekas Timbalan Menteri Kewangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.
Selain Yamani, antara nama ‘besar’ yang turut diumumkan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Jamawi Jaafar yang akan dicalonkan di kerusi DUN Melalap di Tenom.
Jamawi yang dikatakan ‘calon pinjaman’ dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bakal mencabar anak Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menggantikan Datuk Peter Anthony di kerusi itu.
Selain Jamawi, seorang lagi ‘calon pinjaman’ dari Gagasan Rakyat turut diumum, iaitu penyandang kerusi DUN Karamunting, Datuk George Hiew yang dinamakan PKR sebagai calon PH di kerusi itu.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi juga tersenarai sebagai calon PKR dan dipertaruhkan di kerusi DUN Merotai bagi mencabar pengaruh Parti Warisan.
Satu-satunya penyandang kerusi PKR yang dicalonkan ialah Timbalan Ketua PKR Sabah yang juga bekas Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim yang akan mempertahankan kerusi DUN Inanam.
Selain itu, Ketua Cabang PKR Pensiangan, Datin Rufinah Pengeran yang menjadi calon tunggal wanita diumum bakal bertanding di kerusi DUN Tulid.
Calon selebihnya ialah bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari yang diumumkan bertanding mewakili PH di kerusi DUN Petagas; Romansa Lamin (Segama) dan Abdul Said Pimping (Gum Gum).
Seorang lagi ialah Thonny Chee yang menggantikan tempat bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew di DUN Api-Api. – Info X