KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mengumumkan 41 calon dengan 80 peratus daripadanya muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerusi terbabit ialah Banggi, Bengkoka, Pitas, Tanjung Kapor, Pintasan, Tempasuk, Usukan, Sulaman, Pantai Dalit, Karambunai, Darau, Tanjung Keramat, Kawang, Pantai Manis, Bongawan, Membakut, Klias, Kuala Penyu dan Lumadan.
Selebihnya ialah Kundasang, Karanaan, Paginatan, Liawan, Nabawan, Sook, Telupid, Sugut, Labuk, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Lamag, Sukau, Tungku, Silam, Kunak, Bugaya, Balung, Apas, Tanjung Batu dan Sebatik.
Daripada jumlah itu, hanya 20 peratus muka lama dengan lima daripadanya adalah penyandang iaitu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag), Datuk Jafri Arifin (Sukau), Datuk Harun Durabi (Bengkoka), Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan) dan Datuk Yakub Khan (Karambunai).
Selain itu, empat daripada calon ialah Ahli Parlimen iaitu Bung Moktar selaku Ahli Parlimen Kinabatangan bertanding di kerusi DUN Lamag; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir (Sungai Sibuga); Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (Bongawan) dan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (Sook).
Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar adalah calon bertanding semula bersama calon bagi kerusi DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail dengan kedua-dua mereka pernah menyandang kerusi berkenaan sebelum ini.
Sementara itu, tiga calon wanita adalah antara 80 peratus muka baharu iaitu di kerusi DUN Banggi, Normalah Rasick; diikuti Laiji Ompongoh (Nabawan) dan Saleha Wahid (Tungku).
Selebihnya Kevin Lee Sip Kim (Tanjong Kapor), Tadzul Radim (Pintasan), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Tempasuk), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (Sulaman), Alfian Sambas (Pantai Dalit), Arfansyah Abdul Gafar (Darau), Jeffry Nor Mohamed (Tanjung Keramat), Datuk Jamal Norubit (Kawang) dan Reduan Ismail (Pantai Manis).
Yang lain ialah Rusman Dulamit (Membakut), Osin Jilon (Klias), Datuk Awang Aslee Lakat (Kuala Penyu), Datuk Mohd Nazri Abdullah (Lumadan), Japirin Sahadi (Kundasang), Nadzimin Kamin (Karanaan), Datuk Junaidi Sahat (Paginatan), Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi (Liawan), Benedict Asmat (Telupid), Mohammad Ariffin Pachuk (Sugut) dan Yusof Latif (Labuk).
Turut dicalonkan ialah Zaini Tiksun (Sungai Manila), Mohd Zharif Aizat Samsuddin (Sekong), Sharif Musa Sharif Mabul (Silam), Datuk Seri Anil Jeet Singh (Kunak), Abdul Manan Indanan (Bugaya), Erwan Palate (Balung), Dr Elmiariezan Adran (Apas), Samasudin Yusop (Tanjong Batu) dan Aslan Fadli Samsul Alang (Sebatik).
Bung Moktar bagaimanapun berkata, senarai calon BN itu belum muktamad kerana dijangka ada lagi kerusi tambahan yang akan diumumkan selepas ini. – Info X