KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika cuba menyeberang jalan di Jalan Kota Marudu – Pitas, berhampiran simpang masuk ke Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.29 malam itu, mangsa dikenali sebagai Afizaen Ismail, 18, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 dari arah Bulatan Goshen hendak balik ke Kampung Parong, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi, seorang pejalan kaki yang berada di tengah jalan secara tiba-tiba cuba menyeberang dari arah kiri ke kanan menuju ke kawasan Restoran Anjung Samudera, Medan Marudu sebelum dirempuh oleh kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kota Marudu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa oleh polis ke bilik mayat Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol. Namun, sampel darah kedua-dua pihak diambil untuk ujian toksikologi bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – Info X