BONGAWAN: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman bakal dicalonkan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU Sabah) Ke-17.
Pencalonan bekas Menteri Luar itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, di Dewan Masyarakat Bongawan, di sini, pada Isnin.
“Kalau GRS, parti komponennya, jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat dan bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik calon GRS dan kita mahu menang.
“Anifah dulu jadi Ahli Parlimen di sini, banyak jasa beliau di Bongawan. Kerana itu saya mohon kita satu hati dan mantapkan jentera untuk pastikan Anifah menang,” katanya.
Beliau berkata, khidmat Anifah diperlukan untuk membantu membangunkan negeri sejajar pengalamannya yang luas, termasuk sebagai Menteri Luar sebelum ini.
“Calon kita ini pernah menjadi Menteri Luar, bukan saja rakyat di Bongawan bangga, kita di Tuaran pun bangga. Kita mahu dia (Anifah) berkhidmat bantu kerajaan Sabah selepas ini,” katanya.
Katanya, beliau mahu Bongawan yang kini disandang pemimpin pembangkang, kembali diwakili parti kerajaan supaya boleh dimajukan seperti slogan Bongawan Maju.
Anifah bakal bersaing dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang dicalonkan Barisan Nasional (BN) bagi mencabar penyandang kerusi itu, Dr Daud Yusof dari Warisan.
Selain Bongawan, Hajiji juga menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan GRS untuk kembali membentuk kerajaan selepas PRN Sabah pada 29 November nanti.
“Kita pastikan bukan saja Bongawan, tapi lain-lain juga, termasuk kelmarin di Kemabong. Saya yakin sekali lagi GRS memerintah selepas pilihan raya nanti,” katanya. – Info X