KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah menyertai Parti Warisan kerana menyifatkan parti itu lebih bersih.
Katanya, beliau meninggalkan PKR bukan disebabkan permusuhan tetapi kerana mahu bersama wadah yang lebih bersih, telus dan konsisten.
“Yang lama bukan tidak baik, tapi saya mahu bilik yang lebih bersih. Warisan ini saya nampak betul-betul menjaga kesatuan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, pada Isnin.
Sazalye disertai beberapa lagi bekas pemimpin cabang PKR, antaranya dari Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.
Beliau yang tewas pada pemilihan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, April lalu menyifatkan Warisan sebagai satu-satunya wadah yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sabah.
Katanya, beliau membuat keputusan menyertai Warisan selepas menilai dengan mendalam hala tuju politik semasa khususnya dalam isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.
“Warisan ini satu-satunya parti yang sama selera dengan saya dan sahabat-sahabat saya. Saya nampak Warisan bukan sekadar bercakap tapi melaksanakan, terutama dari segi pelaksanaan MA63,” katanya.
Katanya, Warisan membuktikan komitmen terhadap rakyat melalui tindakan nyata ketika mentadbir negeri dari 2018 hingga 2020, termasuk pemberian geran tanah kepada rakyat tempatan.
“Kalau Warisan ini betul-betul PTI seperti yang sesetengah pihak tuduh, tidak mungkin kerajaan Warisan dulu bagi tanah kepada rakyat Sabah sendiri,” katanya. – Info X