BONGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan sesuatu berkaitan permintaan kerajaan negeri yang disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata, beliau ada menyuarakan permintaan kepada Perdana Menteri ketika menghantar pemimpin nombor satu negara itu, selepas programnya di Kota Kinabalu pada Ahad.
“Saya sudah ‘bisik’ dengan Perdana Menteri ketika menghantar dia balik malam tadi. InsyaAllah kita dengarlah satu dua hari ini,” katanya.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, di sini, pada Isnin.
Hajiji bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dibisikkan kepada Perdana Menteri, namun ia dijangka berkaitan isu 40 peratus.
Terdahulu, Ketua Menteri menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan negeri dengan Kuala Lumpur sejajar peranan kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.
Katanya, adalah tidak wajar jika kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak bekerjasama tetapi pergi ke Kuala Lumpur meminta pelbagai perkara daripada kerajaan Persekutuan.
“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana dia mentadbir negara, negara ini adalah negara kita. Walau apapun kita pertahan hak negeri, kita harus pertahankan juga negara.
“Jangan hak negeri kita perjuangkan, negara diruntuhkan. Kerjasama Sabah – Kuala Lumpur penting, jangan bila menang tidak kerjasama, habis itu pergi Kuala Lumpur minta itu ini, eh malu lah.
“Mana boleh begitu, sejarah politik suruh kita maju bersama Malaysia, itu saja harapan saya kepada rakyat di Bongawan ini,” katanya.
Dalam hal lain, Ketua Menteri mendedahkan kira-kira setengah juta anak Sabah dibantu menerusi peruntukan untuk pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.
Katanya, jumlah yang menerima manfaat itu adalah yang terbesar berbanding kerajaan sebelum ini berikutan kejayaan pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri.
“Dalam bidang pendidikan sebanyak RM1.3 bilion dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini, 500,000 anak Sabah kita bantu dalam tempoh itu.
“Biasiswa dulu hanya RM40 hingga RM50 juta setahun, tapi sekarang kita luluskan RM145 juta. Peningkatan ini disebabkan kita berjaya mentadbir negeri dan meningkatkan hasil.
“Dulu kutipan hasil hanya RM4 hingga RM5 bilion saja setahun, tapi sekarang mencecah RM7.5 bilion. Ini yang kita kembalikan kepada rakyat,” katanya.
Hajiji turut membidas tuduhan pembangkang yang mengatakan kerajaan hanya membuat pengumuman, tapi hasilnya tidak dapat dirasai.
“Memanglah mereka tidak rasa kerana manfaat itu hanya dirasai rakyat. Walaupun tidak semua yang dapat dibantu, tapi kita dapat bantu paling ramai.
“Jadi, rugi kita kalau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dikasi menang, kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah, jangan sekali-kali terpedaya dengan retorik pembangkang.
“Mereka (pembangkang) cakap berapi-api macam jual ubat, mundar-mandir, pusing-pusing, tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan kerajaan,” katanya. – Info X