Search

Perjuangan tuntut hak Sabah tidak harus jadi punca perpecahan – PKR Sabah

November 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi dan pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan.

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sebaliknya perjuangan itu sepatutnya menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati.

“KEADILAN Sabah menyeru agar semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan, serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson Angang mengenai keputusan UPKO keluar dari Pakatan Harapan (PH) yang antara lain disebabkan perbezaan pendirian berhubung tuntutan hak Sabah, termasuk isu 40 peratus hasil.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata PKR Sabah menghormati keputusan rasmi UPKO untuk berundur dari gabungan PH itu.

“Sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak 2019, kerjasama erat telah dijalinkan antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat di pelbagai peringkat, khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik, dan pembangunan inklusif di Sabah.

“Atas dasar itu, KEADILAN Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh tersebut,” katanya. – Info X