Search

Isu 40 peratus: Sabah hargai keputusan kerajaan Pusat tidak buat rayuan, anggap satu sejarah

November 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghargai keputusan Kerajaan Pusat tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Penghargaan itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri Persekutuan yang membuat keputusan bersejarah itu pada Selasa.

Ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu kenyataan berkata keputusan itu menunjukkan Perdana Menteri memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

Katanya, ia juga mencerminkan komitmen tulen Perdana Menteri untuk menegakkan apa yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas Kerajaan Negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya.

Hajiji berkata, menghormati keputusan mahkamah adalah langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya di kawasan luar bandar di mana infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas masih ketinggalan.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian itu.

Beliau juga menggesa agar rakyat terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri. – Info X