Search

Tiada rayuan pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil , proses rundingan disegerakan – AGC

November 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil yang dikutip di Sabah.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan keputusan itu sejajar pendirian Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas itu.

“AGC memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan pada 11 November 2025 bagi membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Ia berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman difailkan Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

Pada mesyuarat sama, kata kenyataan itu, Peguam Negara memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman Mahkamah Tinggi itu.

“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.

“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974.

“Selain itu, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut,” katanya. – Info X